AYAT QUR'AN - PENGUBAT
Assalamualaikum wbt,
Bismillahirrahmanirrahim
Dengan Nama Allah (SWT) Yang Maha Pemurah, Penyayang Lagi Maha Agung. Sesungguhnya segala puji, kemulian dan sanjungan itu hanya pada Mu sahaja. Selawat dan salam untuk junjungan besar kita Nabi Muhammad (SAW).
Syukur ke hadrat Allah (SWT) kerana dengan taufik dan hidayahnya saya berkemampuan untuk menyiapkan website ini. Saya berharap amalan perubatan melalui ayat-ayat Al-Quran, iaitu perubatan yang saya namakan Perubatan Syifa’ Al-Hidayah ini dapat diperkembangkan dan dipraktikkan di kalangan umat Islam.
Al-Quran adalah setinggi-tinggi martabat penawar dan kesembuhan. Setiap huruf yang terkandung di dalamnya adalah penawar untuk penyakit spiritual dan fizikal. Tiap-tiap surah dan ayat dalam Al-Quran adalah penawar kepada sesuatu penyakit, dengan syarat seseorang itu beriman dan yakin kepadanya.
PENGASAS - Pengasas perubatan ini adalah Saidina Abu Bakar (ra). Perubatan dengan menggunakan ayat-ayat Quran sebagai penawar ini sangat mashyur semasa di zaman kegemilangan Islam selepas wafatnya Nabi Muhammad (SAW). Tetapi setelah sekian lama, ramai umat Islam kurang yakin akan hikmah dan mujizat Al Quran sebagai penawar kepada segala penyakit. Saya sangat berharap agar kita dapat mengembalikan semula zaman kegemilangan perubatan melalui Al-Quran seperti semasa zaman permulaan Islam dahulu.
AL-QURAN SEBAGAI PENAWAR - Di dalam Surah Al-Israa’ Ayat 82 Allah (SWT) berfirman “Dan kami turunkan dengan beransur-ansur dari Al-Quran ayat-ayat suci yang menjadi ubat penawar dan rahmat bagi orang yang beriman kepadanya.” Di dalam Surah Fussilat ayat 44 Allah (SWT) berfirman “Katakan, Al-Quran itu adalah petunjuk dan penawar bagi orang yang beriman”. Ini jelas terbukti bahawa semua penyakit yang datang dari Allah, penawarnya ada di dalam Al-Quran, terpulanglah kepada individu untuk mencari dan mengamal ayat-ayat tersebut dan yakin sepenuhnya akan mukjizat Al-Quran.
Sebagai contoh:
- Surah Qaaf ayat 16 hingga 45 dan Surah Sod ayat 34 hingga 61 selalunya untuk penyakit yang ada kaitan dengan tulang (seperti sakit rheumatism, arthritis, sakit sendi, tulang patah atau fractured, slip disc, sakit tulang belakang)
- Surah Al Buruuj ayat 1 higga 22 selalunya di baca untuk penawar sakit-sakit yang berkaitan dengan perut (seperti gastric, stomach ulcer) atau penyakit yang berkaitan dengan usus besar atau usus kechil.
CARA PERUBATAN - Perubatan Shifa' Al-Hidayah ini tidak menggunakan hikmat makhluk halus (samada jin Islam, khadam, syaitan atau iblis) dan tidak juga menggunakan sebarang perantaraan. Ianya berdasarkan kepada 3 amalan utama iaitu:
1. Amalan Bacaan Al-Quran,
2. Berdoa memohon kepada Allah (SWT)
3. Memperbanyakkan Zikir (Laila hail’lallah)
Selain dari 3 amalan ini, perubatan ini menggunakan air mineral dan madu asli. Madu asli adalah digunakan untuk mengubati penyakit yang ada kaitan dengan paru-paru (seperti sakit lelah), perut (sakit ulcer, gastric, dll), usus dan tenaga batin. Setiap pesakit perlu berwuduk sebelum perubatan dan kaum muslimat dikehendaki menutup aurat dengan memakai pakaian solat semasa perubatan.
DIAGNOSIS DAN SCANNING UNUK KENAL PASTI PENYAKIT - Mengikut prosedur perubatan yang saya amalkan, pesakit perlu berjumpa dengan saya dahulu, dan saya akan menbuat diagnosis (kenal pasti) penyakit yang dialami oleh pesakit. Diagnosis (kenal pasti) penyakit adalah dengan kaedah “scanning”. Keupayaan “scanning” ini adalah suatu keupayaan atau kebolehan yang diberi oleh Allah (SWT). Berdasarkan penyakit yang dikenal pasti, dengan izin dan hidayah Allah (SWT), saya akan memberitahu pesakit itu samada sakit yang dialami itu adalah sakit jasmani / fizikal (sakit badan atau physical illness) atau sakit rohani (spiritual illness). Setelah dikenal pasti akan penyakit yang dihadapi oleh pesakit itu, ini kemudian disusuli dengan pemberian ayat-ayat Al-Quran yang tertentu untuk sakit yang dialami. Bacaan ayat-ayat Al-Quran ini perlu disertakan dengan doa kepada Allah (SWT) dan memohon kepadaNya agar disembuhkan penyakit itu.
AYAT AL-QURAN SEBAGAI GANTIAN KEPADA UBAT - Setiap ayat-ayat Al-Quran yang diberikan kepada pesakit untuk mereka amalkan diibaratkan sebagai ubat, dan air yang diminum adalah untuk menyerapkan ayat itu ke dalam badan dan jiwa pesakit itu. Sebagai perumpamaan, tatkala kita sakit demam, kita ambil pil panadol. Pil panadol tersebut adalah ubat dan air yg diminum sewaktu memakannya adalah untuk menyerapkan ubat panadol itu ke dalam badan atau darah kita agar kita beransur sihat. Sama dengan ayat Al-Quran yang dibaca, ia adalah gantian kepada ubat, dan air yg diminum ialah untuk menyerapkan ayat Al-Quran itu ke dalam badan dan jiwa kita.
KEHEBATAN DAN MUKJIZAT AL-QURAN - Memang benar, perubatan sebegini kadang-kadang tak ada logiknya dan adakalanya susah untuk diterima oleh akal fikiran manusia. Apatah lagi, bila dianalisakan kaitan sesuatu surah dan ayat-ayat Al-Quran dengan sesuatu jenis penyakit. Apabila dibaca terjemahannya pula, ayat-ayat Al-Quran tersebut tiada menggambarkan kaitan secara langsung dengan penyakit yang dialami. Tapi, inilah kehebatan dan mukjizat Al-Quran!
Sebaliknya, perubatan moden berasaskan kepada logik dan “reasoning”, dan dengan ini lebih mudah diterimapakai oleh para pesakit (seperti macam mana antibiotics dapat menandingi virus atau bakteria yang menjadi punca kepada sesuatu penyakit, atau pain-killer seperti ubat panadol atau ponstan dapat mengurangkan kesakitan seseorang).
Sebagai contoh di dalam Perubatan Syifa' Al-Hidayah ini:
- Surah Kahfi ayat 32 hingga 50 adalah digunakan sebagai ubat tahan sakit atau pain killer. Tetapi bila kita membaca terjemahan ayat tersebut, ia tiada kaitan dengan ubat tahan sakit, ini adalah kehebatan Al Quran.
- Ayat-ayat di dalam surah Al-Maidah, Al-Anfaal, An-Nahli, An-Naml dan sebagainya mengandungi banyak hikmah yang menyamai fungsi antibiotik-antibiotik kepada pelbagai penyakit.
- Ayat-ayat di dalam Surah Maryam dan Surah An-Nisaa' dapat mengubati penyakit yang berkaitan dengan kaum perempuan seperti fibroid, ovarian cysts, dll.
- Ayat-ayat di dalam Surah Al-Qasas, Surah Al-Israa’, Surah Ash Syura, Surah As Saaffaat, Surah Ambiyaa’, Surah Al-Ahqaaf dan sebagainya banyak digunakan untuk mengubati sakit badan seperti jantung, sakit buah pinggang, dll.
- Surah Yassin ayat 72 hingga 83 dan Surah Ar-Rahman ayat 21 hingga 60 adalah ayat penerang hati dan sesuai untuk diamalkan oleh pelajar-pelajar atau anak-anak yang bersekolah.
- Surah Al-Waqiah ayat 36 hingga 74 untuk murah rezeki dari segi kesihatan, kewangan dan harta kekayaan.
PENYAKIT KRITIKAL - Ramai juga pesakit saya yang mengidap sakit kanser yang telah sembuh (dengan keizinan dan keberkatan dari Allah SAW) dengan mengamalkan ayat-ayat ini. Ada seorang pesakit yang telah confirm sakit fibroid dalam rahim oleh doktor perubatan dan dapat dilihat fibroidnya melalui x-ray/scan machine tetapi setelah mengamal bacaan ayat-ayat ini, fibroidnya tak ada lagi di dalam rahim dan ini disahkan oleh doktor perubatan melalui x-ray/scan. Ini bukanlah satu 'magic' tetapi ayat-ayat ini dengan sendirinya menghancurkan fibroid itu dan fibroid ini keluar melalui darah haid.
PEMBEDAHAN CARA BATIN – Ada jenis-jenis penyakit yang perlu diubati melalui pembedahan cara batin. Pembedahan cara batin ini dilakukan bukan menggunakan pisau dan sebagainya, tetapi dilakukan secara simbolik. Contohnya ialah pembedahan untuk penyakit saluran darah yang tersumbat (blockage). Pembedahan ini dilakukan secara simbolik dan apabila pesakit itu mengamalkan ayat-ayat seperti di dalam Surah Al Israa', saluran darah yang tersumbat itu dengan sendirinya (dengan keizinan Allah SWT) sembuh seperti sediakala dan pesakit tak perlu membuat “by-pass operation”.
PENYAKIT ROHANI (SPRITUAL ILLNESS) - Surah dan ayat-ayat Al-Quran ini bukan sahaja dapat mengubat sakit-sakit fizikal (seperti kencing manis, darah tinggi, sakit jantung, kidney failure, saluran darah tersumbat) malahan ianya lebih berkesan mengubati penyakit-penyakit rohani yang disebabkan oleh jin, syaitan dan iblis (seperti ilmu sihir dan racun santau).
Sebagai contoh:
- Surah Al-Baqarah ayat 1 hingga 20, dan ayat 244 hingga 255 adalah ayat pendinding kepada sakit-sakit gangguan yang disebabkan oleh sihir manusia melalui jin, iblis dan syaitan.
- Surah Asy Syuaraa' ayat 95 hingga 118, Surah Arrad ayat 30 hingga 34, Surah Fussilat ayat 28 hingga 35, ayat-ayat di dalam Surah Taha, Surah Al-Hasyr, Surah Al-Ghaasyiyah dan Surah Asy Syura sungguh berkesan dibaca untuk mengeluarkan jin, benda-benda halus atau racun-racun perbuatan ilmu sihir atau santau dari badan manusia.
- Surah Muhammad ayat 21 hingga 32 dan Surah Taha ayat 120 hingga 135 adalah ayat "penyejuk" iaitu penawar kepada orang yang panas baran dan untuk mententeramkan jiwa, fikiran dan hati.
PENYAKIT GANGGUAN MAKHLUK HALUS - Penyakit-penyakit gangguan selalunya disebabkan oleh kemasukan jin, syaitan atau iblis ke dalam tubuh badan manusia. Apabila jin memasuki ke dalam badan manusa, ia selalu nya berada di dalam otak dan di tulang belakang (spinal cord) berdekatan dengan urat saraf kita. Melalui otak dan urat saraf, jin akan dapat mempengaruhi pemikiran dan emosi pesakit itu. Sebab itu kalau seseorang itu ada sakit ganguan sihir atau ganguan jin, fikiran dan emosinya mereka terganggu, dan kadang-kadang “anxiety level” mereka sangat tinggi. Selalunya mereka rasa sakit di bahagian pinggang, tengkuk, bahu dan sendi-sendi. Bila fikiran mereka terganggu, ia akan mengakibatkan seseorang itu mendapat sakit tekanan jiwa atau “depression”.
Apabila seseorang itu telah dimasuki jin atau makhluk halus, ia perlu terlebih dahulu dikeluarkan atau dimusnahkan (dengan izin Allah SWT). Keupayaan mengeluarkan atau memusnahkan jin, makhlus halus, racun sihir dan santau ini perlu dipelajari dan ia suatu keupayaan yang diberikan oleh Allah SWT. Apabila makhluk halus itu telah dikeluarkan atau dimusnahkan, ia disusuli dengan doa oleh pesakit dan amalan bacaan ayat-ayat Al-Quran seperti ayat-ayat dari Surah Al-Baqarah, Surah Asy Syu'araa, Surah Arrad, Surah Taha, Surah Fussilat, dll.
GANGUAN SIHIR – Ada banyak jenis ganguan sihir. Sebagai contoh - ilmu hitam yang boleh melemahkan tenaga batin seseorang. Ramai pesangan suami isteri yang dikenakan sihir atas tujuan untuk meruntuhkan rumah-tangga mereka. Ramai ahli sihir menggunakan jin untuk mengawal pemikiran dan nafsu syahwat seseorang. Di sini jin itu akan merosakkan urat saraf di tulang belakang seseorang itu melemahkan tenaga batinnya dan juga mempengaruhi pemikiran dan emosi suami dan isteri supaya mereka tidak sehaluan.
MEMBUAT KAJIAN - Saya memang berharap agar ada pelajar-pelajar atau tenaga pengajar pusat pengajian tinggi dapat membuat research tentang Perubatan Syifa' Al-Hidayah ini sebab banyak lagi rahsia-rahsia di dalam Al-Quran yang saya sendiri belum dapat mendalami dan memahaminya. Hakikatnya, ramai kalangan umat Islam yang sakit telah sembuh dengan mengamalkan ayat-ayat Al-Quran (dengan keizinan Allah SWT), ini adalah bukti bahawa Al-Quran adalah penawar kepada segala penyakit kepada orang yang yakin dengannya dan dengan keizinan Allah SWT.
KEYAKINAN DAN USAHA SERTA DOA - Saya telah mempraktikkan Perubatab Syifa' Al-Hidayah ini sudah lebih daripada 5 tahun. Hakikatnya, dengan keizinan Allah (SWT) ramai kalangan pesakit yang telah sembuh dengan mengamalkan ayat-ayat Al-Quran yang diberikan. Pokoknya, kita perlu yakin sepenuhnya dan berusaha membaca ayat-ayat Al-Quran dan berdoa kepada Allah (SWT).
INTERNET WEBSITE - Saya berharap melalui website ini , ilmu Allah (SWT) ini dapat di perkembangkan. Al-Quran ini adalah dari Allah (SWT) dan perubatan ini adalah dari Allah (SWT), jadi tidak ada rahsia didalam perubatan ini.? Tujuan saya mengadakan website ini adalah untuk berkongsi bersama?pengetahuan perubatan ini dan seterusnya untuk menyebarkan perubatan ini kepada sesiapa yang yakin akan hikmah ayat-ayat Al-Quran. Kebanyakkan ayat-ayat yang digunakan untuk perubatan ada di dalam website ini. Dengan adanya website ini, ia juga dapat membantu orang ramai atau pesakit-pesakit yang kurang fasih membaca ayat-ayat Al-Quran. Dalam website ini, setiap ayat yang dipamirkan terdapat kemudahan “audio” untuk pesakit-pesakit mendengar dan menyemak semula bacaaan Al-Quran yang diamalkan. Selain dari itu, setiap ayat disertakan dengan terjemahannya supaya mudah orang ramai dan pesakit-pesakit memahami maksud ayat-ayat tersebut.
SUMBANGAN DAN DERMA - Disini juga saya ingin memberitahu bahawa Perubatan Syifa’ Al-Hidayah ini tidak menetapkan pembayaran atau dalam istilah melayu “pengeras”. Tetapi sekiranya pesakit ingin menderma setelah mendapat rawatan, saya ada menyediakan dua tabung khas untuk pesakit dan penderma. Satu tabung untuk cadangan pembinaan asrama atau pusat anak-anak yatim dan satu lagi tabung kebajikan untuk kegunaan pembinaan masjid, korban dll.
PEMBINAAN PUSAT ANAK YATIM, SURAU DAN PUSAT RAWATAN - Dengan keberkatan dan rahmat dari Allah SWT, hasil dari wang kutipan dan dermawan dari pesakit-pesakit selama 3 tahun yang lepas, saya (dengan keizinan Allah) telah membeli sebidang tanah seluas 1.8 ekar di Janda Baik, Bentung, Pahang. Di atas tapak tanah ini saya bercadang untuk mendirikan asrama atau pusat anak-anak yatim, surau dan kemungkinan sebuah pusat rawatan atau hospital yang berasaskan perubatan Syifa¡¦ Al-Hidayah. Selain dari ini, wang derma ini juga disalurkan kepada 21 orang anak-anak yatim sebagai wang saku bulanan dan pembelanjaan persekolahan mereka. Sekiranya ada hamba-hamba Allah atau mana-mana pihak yang ingin menyumbang kepada pembinaan pusat anak yatim atau menderma kapada anak-anak yatim yang tersebut diatas, bolehlah berbuat demikian melalui akaun Bank Simpanan Nasional, Al-Wadiah nombor akaun : 1010041000017318..
Di sini saya ingin mengucapkan terima kasih kepada sahabat-sahabat yang telah memberi kerjasama, idea, masa dan tenaga untuk bersama-sama membina website ini terutama Encik Shahrul Saleh, Encik Nik Nashron bin Abdul Aziz, Encik Faidzul Nasruddin,dan Encik Mohd Rashdan bin Jamaludin. Mereka telah banyak meluangkan masa dalam pembinaan website dan saya amat menghargai kesabaran dan ketekunan anda semua. Syukur ke hadrat Allah kerana memberi keupayaan dan keyakinan diri kita bersama, membolehkan website ini sempurna dilaksanakan.
Tidak lupa saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada sahabat-sahabat karib saya yang telah bersama-sama menyebarkan Perubatan Syifa’ Al-Hidayah ini dan membantu secara sukarela didalam mencurahkan tenaga dan masa setiap kali saya melakukan rawatan di luar kawasan Kuala Lumpur seperti di Kuala Terengganu, Perlis, Langkawi, Kota Bharu dan Kuching, Sarawak. Saya amat menghargai jasa-jasa dan sokongan anda semua dan semoga Allah (SWT) memberi ganjaran kebahagiaan di dunia dan akhirat di atas pertolongan yang diberi oleh anda semua. Mereka adalah:
• Ustadz Haji Mohd Shukri bin Hj. Ali dan sekeluarga dari Kuala Terengganu
• Encik Mohammad Azmi bin Zain dan isteri Dr. Wan Balqis dari Arau, Perlis
• Cikgu Din Ibrahim dan Ustadz Hashim Ahmad dari Langkawi
• Ustadz Mohamad dan sekeluarga dari Kemaman, Terengganu
• Puan Juita dan suami Dr. Wan Alwi dari Kuching, Sarawak
Saya ingin juga mengucapkan ribuan terima kasih kepada Dr. Amran Kasimin, Dato’ Dr. Haron Din dan Prof Madya Hanafi Ismail di mana banyak fakta-fakta dan maklumat tentang penyakit-penyakit contohnya pengenalan dan penerangan penyakit-penyakit yang di nyatakan dalam laman website ini diambil dari buku-buku tulisan mereka. Walaubagaimanapun ayat-ayat penawar yang disenaraikan dalam website ini adalah dari Perubatan Syifa’ Al-Hidayah.
Kepada isteri saya Norma Muhammad dan putera puteri saya - Noor Alia, Noor Dayana, Adi Ikmal, Dani Aizat dan yang kecil dan manja sekali Dhiya Aiman, yang telah banyak berkorban, memberi sokongan dan memahami saya, mudah-mudahan apa yang kita sekeluarga lakukan ini memberi manafaat dan diperkira sebagai ibadah jua yang diberi ganjaran oleh Allah (SWT).
Akhir sekali, doakan lah semoga pembinaan sebuah klinik di Gombak (Sg. Pusu) yang masih lagi dalam perancangan dapat dibina secepat mungkin, agar dapat memberi kemudahan perubatan kepada ramai lagi pesakit-pesakit.
Ya Allah, Ya Tuhanku, KemuliaanMu lebih daripada mencukupi untuk memenuhi pelbagai ratapan. KeagunganMu dan ihsanMu lebih daripada memadai untuk mengampunkan dosa-dosa. Sempurnakanlah dakapan hidayahMu ya Allah. Berikan lah kami kesejahteraan, kekayaan, pemeliharaan dan kasih saying Mu Ya Allah. Anugerahkanlah daku Ya Allah, Ya Tuhanku, kedua ibu bapa, keluargaku, sahabat-sahabatku dengan rahmat dan keberkatan, keampunan, kebahagiaan dunia dan akhirat.
Sekian. Wabillahi Taufiq Wassalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Hj. Lokman Abdul Hamid
4 Ogos 2005
Subscribe to:
Posts (Atom)